7 Golongan VVIP Padang Mahsyar

(Gambar hiasan)

Ketika mana manusia dihimpunkan di Padang Mahsyar, menanti saat untuk dihitungkan segala amalan hidup, tiada seorang pon yang terlepas daripada terik Mahatari yang sangat panas. Dalam keadaan ketakutan untuk melihat kembali segala perbuatan semasa hidup, bayangkan betapa panasnya ketika itu apabila Matahari berada sejengkal daripada kepala manusia yang sedang berhimpun di situ. Panasnya bukan kepalang.
Walau bagaimanapun, dalam keadaan tersebut, terdapat 7 golongan yang diberikan keistimewaan oleh Allah s.w.t. Penulis istilahkan golongan tersebut sebagai 7 golongan VVIP Padang Mahsyar. Mereka mendapat payung khas (naungan) di hari tiada naungan lain melainkan naungan-Nya.

Golongan pertama ialah golongan pemimpin yang adil. Adil bermaksud yang meletakkan sesuatu sesuai dengan peranan atau kedudukannya. Sebagai contoh, kasut yang dibeli, walaupun harganya berjuta ringgit, tidak boleh diletakkan di kepala. Untuk adil terhadap kasut tersebut, pembeli perlu memakainya di kaki. Pemimpin yang adil bermaksud melakukan sesuatu sesuai dengan kedudukan atau peranan. Seorang ayah yang ingin berlaku adil terhadap anaknya tidak semestinya memberikan wang saku kepada setiap anaknya dengan sama nilainya. Wang saku tersebut perlu sesuai dengan tahap umur anaknya.

Golongan VVIP yang kedua ialah pemuda yang kuat beribadat kepada Allah. Disebutkan bahawa permuda yang kuat beribadah kerana golongan pemuda ini adalah golongan yang amat berharga. Tidak aneh sekiranya mereka yang telah lanjut usia banyak beribadah kepada Allah kerana mereka telah menghampiri mati, dan selalu teringatkan mati. Namun bagi di usia muda yang terkadang dilabelkan sebagai honeymoon hidup, sekiranya terdapat golongan pemuda yang banyak beribadah kepada Allah dan tidak terpedaya dengan tipu daya dan fitnah dunia, maka ternyata golongan ini adalah golongan yang hebat. Justeru, adalah tidak aneh sekiranya mereka dilabelkan sebagai golongan VVIP Padang Mahsyar.

Golongan ketiga adalah golongan pemuda yang hati mereka terikat pada Masjid. Hati terikat pada masjid bermaksud mereka selalu menghabiskan kebanyakan waktu terluang mereka dengan beriktikaf, beribadat atau belajar di Masjid. Masjid menjadi pusat aktiviti mereka sama ada untuk belajar, mentelaah pelajaran, menghafal pelajaran, berdiskusi dan sebagainya. Saat ketika terlalu ramai pemuda dan remaja lain membazirkan masa dengan aktiviti-aktiviti yang tidak berfaedah, bahkan maksiat, golongan ketiga ini sibuk dengan aktiviti mereka di masjid. Terlebih hebatnya golongan ini apabila mereka pula menjadi jentera penggerak kepada aktiviti-aktiviti di masjid-masjid.

 
Golongan keempat pula adalah mereka yang bersahabat baik, bertemu dan berpisah kerana Allah. Mereka bertemu, bersahabat dan kemudiannya bersama-sama dalam mendekatkan diri kepada Allah. Sekiranya sahabat mereka terlalai, mereka akan segera mengingatkan. Sekiranya sahabat dalam kesusahan, mereka membantu tanpa mengharapkan pulangan atau ganjaran duniawi. Bahkan mereka sanggup mengorbankan kepentingan mereka demi sahabat dengan niat kerana Allah. Dalam keadaan lain, mereka terpaksa berpisah sementara kerana amanah lain. Namun hati mereka telah bersatu dalam mengingati dan menghampiri Allah.
Golongan kelima merupakan golongan pemuda yang yang diajak untuk melakukan maksiat, dari sebesar-besar maksiat sehinggalah sekecil-kecilnya. Mereka menolak ajakan tersebut dengan berkata, “aku takutkan Allah...”. Alangkan kuatnya hati golongan ini kerana mereka dapat menolak pelawaan melakukan maksiat. Umum mengetahui keseronokan dalam melakukan maksiat. Memang seronok dan puas sekiranya dapat mengumpat teman yang lain. Namun keseronokan tersebut hanyalah keseronokan dunia. Di akhirat kelak, keseronokan tersebut akan bertukar menjadi kesengsaraan yang amat dasyat. Lantaran kuatnya golongan ini menolak ajakan maksiat, mereka dikurniakan darjah kebesaran di Padang Mahsyar.

Golongan keenam adalah golongan yang suka bersedekah dengan ikhlas. Diumpamakan dalam hadith riwayat Abu Hurairah bahawa ikhlas brsedekah itu umpama tangan kanan memberi, tangan kiri tidak mengetahui. Tangan kanan dan kiri adalah dua ‘sahabat baik’ yang terlalu rapat. Sekiranya tangan kiri terasa gatal, pastinya tangan kanan akan tolong menggaru tangan kiri. Begitu juga sebaliknya. Justeru, diumpamakan ikhlas bersedekah ini seperti tangan kanan memberi, dan teman rapatnya tangan kiri pun tidak tahu. Realiti yang berlaku sekarang ini, ingin bersedekah sekian jumlah wang kepada sesuatu pihak, replika sumbangan tersebut mengalahkan pintu rumah. Sekiranya ingin tergolong dalam golongan VVIP Padang Mahsyar, keikhlasan dalam bersedekah  perlu disemai dan dididik dalam diri masing-masing bermula dengan sedikit, kemudian ditambah sedikit demi sedikit.

Manakala golongan ketujuh merupakan mereka yang bersendirian di malam yang sepi mengingati Allah s.w.t, lalu berlinangan air mata mereka kerana teringatkan kekerdilan diri atau dosa-dosa yang telah dilakukan. Penulis istilahkan golongan ini sebagai ber’dating’ dengan Allah s.w.t. Mereka meluahkan masalah mereka kepada Allah. Mereka tidak berhenti-henti beristighfar atas dosa-dosa mereka. Mereka juga terus memuji-muji kebesaran dan keagungan Allah atas segala kurniaan yang telah mereka kecapi. Air mata yang jatuh dari tasik mata hati itu bukan air mata kepalsuan. Itulah bukti kecintaan kereka kepada Allah s.w.t.

Alangkah beruntungnya sekiranya mereka yang selalu ber’dating’ bersama pasangan boya-friend atau gila-friend  melakukan perubahan kepada ber’dating’ dengan Allah. Mereka yang selalu meluahkan isi hati, perasaan atau masalah kepada pasangan mereka(yang tidak halal) berubah meluahkannya kepada Sang Pencipta. “Sekiranya hati yang subur ini diberikan kepada insan yang paling kita cintai, nescaya hati tersebut akan hancur bahkan terluka bagai disiat pada satu ketika nanti. Namun hati yang telah hancur lebur, kiranya dihubungkan kepada Sang Penciptanya, nescaya hati itu akan kembali subur dengan limpahan Rahmatnya”.

Marilah kita berusaha supaya tergolong dalam golongan VVIP Padang Mahsyar nanti. Semoga mendapat keredhaan Allah s.w.t.

(Dihuraikan daripada suatu Hadith Riwayat Abu Hurairah berkaitan 7 golongan manusia yang mendapat naungan di Hari Perhitungan, hari di mana tiada naungan lain selain naungan-Nya)
-Ustaz Mohd Fariiqul Amin bin Mohd Rosli-
 ------------------------------------------------------
 Dijemput kepada lepasan SPM yang berkelayakan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat diploma yang ditawarkan. Bagi yang berminat boleh berhubung dengan beliau. 








Next PostCatatan Terbaru Previous PostCatatan Lama Laman utama

0 ulasan:

Catat Ulasan