Secara fitrah, manusia diberikan kekuatan dan cara pemahaman yang
berbeza antara satu sama lain. Atas perbezaan pendapat tersebut, ia
menerbitkan banyak ikhtilaf seterusnya membentuk pelbagai aliran.
كَانَ
النَّاسُ أُمَّةً وَاحِدَةً فَبَعَثَ اللَّهُ النَّبِيِّينَ مُبَشِّرِينَ
وَمُنذِرِينَ وَأَنزَلَ مَعَهُمُ الْكِتَابَ بِالْحَقِّ لِيَحْكُمَ بَيْنَ
النَّاسِ فِيمَا اخْتَلَفُواْ فِيهِ وَمَا اخْتَلَفَ فِيهِ إِلاَّ
الَّذِينَ أُوتُوهُ مِن بَعْدِ مَا جَاءَتْهُمُ الْبَيِّنَاتُ بَغْيًا
بَيْنَهُمْ فَهَدَى اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُواْ لِمَا اخْتَلَفُواْ فِيهِ
مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِهِ وَاللَّهُ يَهْدِي مَن يَشَاء إِلَى صِرَاطٍ
مُّسْتَقِيمٍ
“Manusia itu adalah umat yang satu, maka Allah mengutus para Nabi,
sebagai pemberi khabar berita gembira dan peringatan, dan Allah
menurunkan bersama mereka Kitab yang benar, untuk memberi keputusan
diantara menusia tentang perselisihan. Tidaklah berselisih tentang Kitab
itu melainkan orang yang telah didatangkan kepada mereka Kitab, iaitu
setelah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang nyata, kerana
kedengkian sesama sendiri, maka Allah memberi petunjuk orang-orang yang
beriman kepada kebenaran tentang hal yang mereka perselisihkan itu
dengan kehendakNya, dan Allah memberi petunjuk kepada sesiapa yang
dikehendakinya ke jalan yang lurus.” (surah al-Baqarah: 213)
Ayat di atas, Allah telah menerangkan perkembangan sosial manusia. Pada
asalnya, manusia berasal dari Nabi Adam kemudian membentuk satu
masyarakat yang saling berinteraksi antara satu sama lain. Seterusnya
berkembang membentuk jenis dan kepelbagaian ras yang meramaikan lagi
variasi masyarakat serta ketamadunan umat manusia.
Mereka pada asalnya menjalankan syariat Islam yang dibawa oleh
utusan-utusan Allah. Lama-kelamaan masing-masing menimbulkan pelbagai
persoalan dan masalah, justeru menyumbang percanggahan serta perbezaan
pendapat antara mereka. Muncul pelbagai pemikiran dan idea, aliran dan
kefahaman, dalam pada masa yang sama lupa bahawa Allah sebagai Pencipta
yang telah menyediakan cara hidup yang sempurna.
Oleh kerana perbezaan pendapat semakin membarah, membuatkan mereka
semakin jauh menyimpang dari syariat Islam yang diiktiraf oleh Allah
sebagai satu-satunya cara hidup, maka diutuskan para Nabi dan Rasul
untuk membimbing manusia menuju keredhaan Allah. Kehadiran utusan-utusan
Allah ini diiktiraf sebagai guru, murshid dan pembimbing kepada umat
manusia. Mereka menceritakan khabar gembira kepada yang taat mengikuti
Islam secara syumul, dan memberi peringatan azab pembalasan di akhirat
kelak kepada yang ingkar.
Dengan itu, disertakan bersama utusan-utusan Allah, kitab yang menjadi
rujukan buat manusia. Sehinggalah kita umat akhir zaman dikurniakan
nikmat bimbingan al-Quran sebagai pimpinan sejagat mempraktikkan
kehidupan seharian berlandaskan al-Quran di segenap aspek. Menerusia
kitab Allah itulah sebagai penyelesaian terhadap percanggahan dan
perbezaan pendapat antara manusia dalam membentuk ketamadunan.
Pada permulaan ayat di atas, Allah menerangkan perkembangan khilaf
dikalangan manusia, sistem manakah yang perlu diteladani dalam membina
ketamadunan manusia. Kemudian Allah menjawab, bahawasanya telah
diutuskan para Nabi dan Rasul bersama kitab demi membimbing manusia.
Hanya dengan kitab itu, manusia mampu bersatu seperti sediakala seperti
mana zaman awal perkembangan masyarakat Nabi Adam.
Barangsiapa yang mencari kebenaran, maka mereka tidak akan berpecah
selagi mana tetap berpegang dengan kitab yang dikurniakan. Untuk umat
akhir zaman, kita dengan al-Quran menjadi hujjah kearah mempertahankan
kebenaran Islam. Malangnya, ada di antara manusia yang tetap berpecah
akibat tidak berpegang dengan syariat Islam. Allah telah menyatakan
tiada lain puncanya melainkan kedengkian dan kejahatan manusia itu
sendiri.
Maka, keadaan sedemikian menarik kita supaya mengikuti al-Quran, ikhlas
menuruti acuan Islam. Kita tidak pernah lupa dan putus asa, bahawa hanya
Allah mampu memberi hidayah kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya.
Justeru, peranan kita adalah berusaha mengejar kelayakan semoga Allah
mengurniakan hidayah dalam pencarian terhadap kebenaran yang hakiki.
Dengan kesungguhan itu, moga dibimbing kejalan yang lurus, mencakupi
aspek aqidah, ibadat, cara hidup dan syiar syariat Islam yang ulung.
Secara umum, perbezaan pendapat ataupun khilaf antara manusia dikenal pasti terbahagi kepada tiga bahagian.
Pertama : Khilaf yang terjadi sesama manusia dalam menguruskan urusan
dunia mereka. Manusia secara umum menghadapi perbezaan pendapat dalam
memilih cara yang paling baik untuk urusan perniagaan dan sosial mereka.
Perkara ini sejajar dengan perkhabaran Allah;
كَانَ
النَّاسُ أُمَّةً وَاحِدَةً فَبَعَثَ اللَّهُ النَّبِيِّينَ مُبَشِّرِينَ
وَمُنذِرِينَ وَأَنزَلَ مَعَهُمُ الْكِتَابَ بِالْحَقِّ لِيَحْكُمَ بَيْنَ
النَّاسِ فِيمَا اخْتَلَفُواْ فِيهِ
“Manusia itu adalah umat yang satu, maka Allah mengutus para Nabi,
sebagai pemberi khabar berita gembira dan peringatan, dan Allah
menurunkan bersama mereka Kitab yang benar, untuk memberi keputusan
diantara menusia tentang perselisihan mereka.” (surah al-Baqarah: 213)
Ayat ini sangat berkaitan dengan perbezaan manusia dalam menentukan
sistem pentadbiran dalam urusan dunia mereka. Didatangkan para Nabi
bersama mereka Kitab sebagai rujukan demi menyelesaikan khilaf sesama
mereka dalam memilih sistem pentadbiran dunia yang paling efektif serta
sealiran dengan kehendak syara’. Bagi setiap umat, telah disediakan
syariat mereka yang tersendiri. Umat Nabi Musa dengan syariat Nabi Musa,
umat Nabi Isa dengan syariat Nabi Isa, begitu juga kita dengan syariat
Nabi Muhammad, perlu dilaksanakan tanpa keraguan. Hanya dengan syariat
yang telah ditentukan inilah, mampu menyatukan manusia serta membimbing
mereka ke arah ketamadunan yang ideal dengan kehendak Islam.
Kedua : Khilaf yang terjadi di kalangan umat yang telah diberikan
syariat melalui kitab-kitab yang telah diberikan. Pertembungan sebegini
berlaku di antara orang-orang yang beriman dengan orang-orang kafir dan
mereka yang mempunyai penyakit hati, dengki terhadap kebenaran yang
telah diutuskan. Inilah yang dikenali sebagai pertembungan antara haq
dan batil.
Manusia bercanggahan sesama mereka dalam penerimaan kitab yang telah
diutuskan. Golongan yang menolak bimbingan kebenaran dari kitab,
hanyalah bertuhankan nafsu.
وَمَا اخْتَلَفَ فِيهِ إِلاَّ الَّذِينَ أُوتُوهُ مِن بَعْدِ مَا جَاءَتْهُمُ الْبَيِّنَاتُ بَغْيًا بَيْنَهُمْ
“Tidaklah berselisih tentang Kitab itu melainkan orang yang telah
didatangkan kepada mereka Kitab, iaitu setelah datang kepada mereka
keterangan-keterangan yang nyata, kerana kedengkian sesama sendiri.” (surah al-Baqarah: 213)
Sesungguhnya Allah mengutuskan Rasulullah s.a.w sebagai pembawa hidayah
dan Din yang Haq. Bagi mengeluarkan manusia dari kegelapan kepada
cahaya. Maka dengan ini, terpisahlah dua golongon iaitu antara haq dan
batil, antara hidayah dan kesesatan, antara cerdik dan dungu, antara
kebenaran dan pendustaan, antara ilmu dan jahil, antara ma’ruf dan
munkar, antara jalan awliya Allah dan musuh-musuh Allah yang sentiasa
menimbulkan pertembungan.
Golongan inilah yang berperanan merubah dan menyeleweng kebenaran
didalam kitab mereka. Sejarah telah membuktikan contoh bangsa Israel
merubah kitab dan syariat mereka. Seterusnya berperanan menyebarkan
virus merubah syariat Nabi Isa yang telah diamalkan oleh
pengikut-pengikut baginda. Agama kristian yang ada sekarang tidak boleh
sama sekali disandarkan kepada Nabi Isa.
Syariat Nabi Isa telah dirubah. Angkara kedengkian yahudilah, timbulnya
agama kristian yang tiada kaitan langsung dengan ajaran Nabi Isa a.s.
Pengasas kepada agama Kristian adalah seorang lelaki Yahudi bernama
Paul. Beliau yang hidup pada zaman kegelapan agama al-Masih (Nabi Isa)
telah mengarahkan penulis-penulis seperti Luke, Mark, Matthew dan John
untuk membukukan agama tersebut daripada hilang begitu sahaja.
Sebagaimana yang termaktub di dalam sejarah, ketika zaman Trojan,
orang-orang Yahudi kembali semula ke Jerusalem. Mereka mula membanjiri
kota Jerusalem. Namun kehidupan mereka di sana tidak bertahan lama
apabila mereka menampakkan perangai mereka yang jahat dan berlakulah
huru-hara di sana sini. Agama al-Masih diharamkan dan diperangi oleh
pemerintah Rome pada ketika itu dengan alasan mampu menggugat
pemerintahannya.
Malangnya Paul telah mencampur-adukkan aqidah samawi (agama yang telah
diturunkan kepada al-Masih) dengan aqidah ardhiyah wasaniah yang dicedok
daripada agama yang sezaman dengannya seperti Mesir Kuno, Hindu dan
Babylon. Aqidah ardhiyah wasaniah ini telah dibentuk menjadi doktrin
utama bagi agama kristian hari ini.
Inlah contoh penyelewengan manusia yang berpenyakit hati, hasad terhadap
syariat Allah, merubah apa yang telah disediakan oleh Allah buat
manusia. Di dalam contoh di atas, jelaslah bahawa peringatan dan
perkhabaran Allah tentang penyelewengan sebegini telah berlaku. Benarlah
firman Allah di dalam ayat terakhir surah al-Fatihah;
صِرَاطَ الَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلاَ الضَّالِّينَ
“(Tunjukkanlah) jalan yang engkau anugerahkan nikmat kepada mereka,
bukanlah (jalan) mereka yang dimurkai dan (bukan pula) jalan mereka yang
sesat.”
Terdapat hadith yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah bersabda;
إن المغضوب عليهم اليهود وإن الضالين النصارى
“Sesungguhnya yang dimurkai adalah Yahudi, dan golongan yang sesat adalah Nasrani (Kristian).”
Hadith ini membenarkan lagi sejarah angkara Yahudi menyesatkan pengikut
Kristian. Yahudi berperanan menyesatkan manusia, manakala orang-orang
Kristian sesat terpengaruh dengan acuan agama Kristian yang dicipta
Yahudi. Mereka sesat tidak sedar akan kesesatan yang dipertahankan,
sementara Yahudi lebih teruk dengki menyesatkan manusia dalam masa yang
sama mereka mengetahui kebenaran Islam. Tetapi kerana mempertahankan
keegoan dan kedengkian yang tinggi, sanggup melakukan apa sahaja asalkan
mempertahankan kedegilan mereka.
Kita selaku umat Islam yang beriman sepenuhnya diseru agar berlepas diri
dan tiada toleransi jika berlaku pertembungan dalam khilaf seperti ini.
Ini kerana mereka sanggup menjual kebenaran demi meraih keuntungan
dunia yang sementara, mereka jugalah yang membunuh utusan-utusan Allah
daripada Para Anbiya dan orang-orang soleh yang berdakwah kepada syariat
Allah.
Pertembungan inilah yang berlaku antara golongan kuffar serta penentang
syariat Allah dan golongan yang beriman dengan Islam yang syumul.
وَلَكِنِ اخْتَلَفُواْ فَمِنْهُم مَّنْ آمَنَ وَمِنْهُم مَّن كَفَرَ
“Akan tetapi mereka berselisih, di antara mereka ada yang beriman, ada pula yang kafir.” (surah al-Baqarah: 253)
Penulis ingin menjelaskan di sini bahawa kita perlu memerangi mereka
yang terang-terangan mengikuti kekufuran. Begitupun terdapat juga
kelompok yang Islam berdasarkan keturunannya, tetapi ingkar serta
mempertikaikan syariat Islam. Maka golongan ini berada di dalam kelompok
yang membawa panji kebatilan. Islam mereka hanyalah pada nama, bersifat
dengan sifat munafiq, membuatkan mereka terjerumus ke lembah kesesatan.
Jelas di zaman kita, pada kurun ke-15 hijrah, apabila munculnya kumpulan
yang mengajak kepada kekufuran, maksiat. Mereka mempergunakan nama
Islam dalam melaksanakan promosi dakyah tersebut. Menzahirkan kononnya
bahawa merekalah kelompok muslimin. Apabila berhadapan dengan
pertembungan ini, maka kita tidak punya pilihan melainkan tetap teguh
mempertahankan prinsip Islam yang syumul. Walaupun menerima pelbagai
tekanan, hakikatnya ia adalah kayu ukur keimanan kita. Kerana
pertembungan ini adalah pertembungan usul yang merupakan prinsip yang
wajib dipelihara.
وَاعْتَصِمُواْ بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا
“Dan berpeganglah kamu semua dengan tali Allah, dan janganlah berpecah belah.” (surah ali-Imran: 103)
Mungkin ada sesetengah golongan yang terkeliru, dengan membawa ayat di
atas sebagai hujjah supaya jangan berpecah. Pendirian yang diajar oleh
Islam adalah pendirian yang teguh. Membezakan antara yang haq dan batil.
Allah memerintahkan kita supaya optimis berpegang dengan tali Allah,
iaitu al-Quran. Makna bagi tali Allah adalah al-Quran dijelaskan oleh
sabda Baginda s.a.w:
القرآن حبل الله المتين
“Al-Quran adalah tali Allah yang kukuh.”
Ayat ini mendahulukan perintah berpegang dengan al-Quran, kemudian baru
disebut jangan berpecah. Memberi kefahaman bahawa al-Quran sahaja yang
mampu menyatukan manusia, dan apabila tidak berpegang dengan al-Quran
maka manusia akan berpecah.
Justeru, perpecahan antara golongan yang berpegang dengan al-Quran dan
golongan yang meninggalkan al-Quran tidak dapat dielakkan. Ini kerana
seolah-olah perpecahan ini sengaja diundang berikutan tindakan golongan
yang meninggalkan al-Quran, tetap dengan keingkarannya. Bagaimana
hendak bersatu sedangkan golongan tersebut jelas ingkar meninggalkan
al-Quran? Allah menyatakan jangan berpecah apabila sama-sama berpegang
dengan Islam. Sebaliknya jika berpecah dengan golongan yang meninggalkan
Islam, tidak mengapa bahkan itulah prinsip pemisahan antara yang haq
dan batil.
Sesungguhnya Rasulullah telah bersabda mengenai prinsip yang harus dipegang apabila berlaku pertembungan antara haq dan batil;
لَا
تَزَالُ طَائِفَةٌ مِنْ أُمَّتِي ظَاهِرِينَ عَلَى الْحَقِّ لَا
يَضُرُّهُمْ مَنْ خَذَلَهُمْ حَتَّى يَأْتِيَ أَمْرُ اللَّهِ وَهُمْ
كَذَلِكَ وَلَيْسَ فِي حَدِيثِ قُتَيْبَةَ وَهُمْ كَذَلِكَ
“Akan sentiasa ada golongan dari umatku yang zahir terhadap
kebenaran, mereka tidak boleh diperapa-apakan oleh orang yang
meninggalkan mereka, (keadaan ini akan berterusan) sehinggalah tiba hari
kiamat, dan pendirian golongan tersebut tetap sedemikian (thabat dan
istiqamah).”
Berdasarkan hadith ini, Rasulullah mengingatkan agar kita menjadi
golongan pembela kebenaran. Apabila berlaku pertembungan, biarlah kita
berada di pihak benar untuk menzahirkan risalah Islam. Cuma ingin
dijelaskan, apabila mereka tidak membawa sebarang mudharat dan ancaman
kepada kita, ketika itu mereka adalah mad’u yang perlu disampaikan
penerangan dakwah secara bijak. Sebaliknya apabila mereka membawa
mudharat dan ancaman kepada kita, maka ketika itu mereka adalah ‘aduw
(musuh) yang perlu ditentang mengikut strategi yang paling efektif.
Jika diimbas kembali sirah Rasulullah s.a.w, inilah cara yang
dilaksanakan. Apabila bukan di medan peperangan, Baginda memandang
orang-orang kafir sebagai mad’u yang perlu disampaikan dakwah Islam
kepada mereka. Tetapi dalam erti kata selagi mereka tidak memudharatkan
atau memberikan ancaman kepada Islam. Manakala ketika dimedan tempur,
baginda beraksi melawan mereka atas nama musuh.
Ketiga : Khilaf yang terjadi antara orang-orang yang beriman. Mereka
tidak bercanggah pendapat dan berbeza pendirian dalam menerima syariat
yang terkandung didalam al-Quran dan kebenaran syariat Rasulullah s.a.w.
Sebaliknya mereka hanyalah berbeza pandangan dalam memahami nas-nas
syara’ seterusnya memberi kesan dalam pengistinbatan hukum. Mereka
keseluruhannya beriman dengan syariat yang datang dari kitab, cuma
pemahaman sahaja yang berbeza.
فَهَدَى
اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُواْ لِمَا اخْتَلَفُواْ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ
بِإِذْنِهِ وَاللَّهُ يَهْدِي مَن يَشَاء إِلَى صِرَاطٍ مُّسْتَقِيمٍ
“Maka Allah memberi petunjuk orang-orang yang beriman kepada
kebenaran tentang hal yang mereka perselisihkan itu dengan kehendak-Nya,
dan Allah memberi petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakinya kejalan
yang lurus.” (surah al-Baqarah: 213)
Ikhtilaf antara mazhab dan kumpulan Islam, sesungguhnya pada perkara
kefahaman cabang furu’ sahaja. Fenomena sebegini pasti terjadi kerana ia
tercetus dari ijtihad, kefahaman dan istinbat para Mujtahidin. Khilaf
di kalangan ulama’ mujtahidin dalam mengistinbat hukum yang terkandung
di dalam nas-nas syara’. Khilaf ini sama sekali jauh dari unsur
kedengkian dan kekufuran, ia adalah khilaf yang masyru’, khilaf yang
berbentuk rahmat kepada umat Islam dalam memahami seterusnya
melaksanakan ibadat yang disyariatkan.
Biodata Penulis
Abdul Mu’izz bin Muhammad mendapat pendidikan di Universiti Al Azhar,
Fakulti Syariah Islamiyah di Kaherah. Anak muda bersemangat waja ini
berasal dari Kajang dan kini memangku jawatan sebagai Ketua Urusan
Ulamak Kawasan Klang. Beliau banyak menulis buku-buku ilmiah antaranya
berjudul "Khilaf : Prinsip dan Disiplin". Beliau memilih PAS sebagai
platform perjuangan Islam dan dakwah sebenar di Malaysia.
8 Oktober 2014